gravatar

Patriotisme Itu Bukan Cinta Paksa

Bismillahirrahmaanirrahiim


memang niat saya nak copy paste sebijik2, sbg peringatan utk diri sendiri..
Wallahu a'alam

Patriotisme Itu Bukan Cinta Paksa

April 2nd, 2007 by Abu Saif 2:35 pm | 5,325 views | Print Print | Email Email |Leave a reply »
patriotisme.jpg
1935 Chinatown Kuala Terengganu, Silver Jubilee of King George V
1993
“Hah, padan muka. Inilah balasan Tuhan kepada kamu!”, herdik pegawai itu kepada kami yang masih basah kuyup selepas meranduk sungai di Janda Baik.
Telinga saya merah. Perasaan marah berubah menjadi semacam dendam.
Saya terkenang kembali kepada rentetan peristiwa beberapa hari yang lalu. Saya dan rakan-rakan dihantar ke kem ini untuk membina patriotisme sebelum dihantar pergi meninggalkan negara. Bimbang kalau-kalau hati berubah rasa, beralih cinta melupakan desa.
Saya dilantik sebagai penghulu, hasil undian majoriti. Alhamdulillah. Antara suka dan derita. Saya derita kerana tidak mahu dibebankan dengan hal-hal remeh yang menyulitkan saya. Tidak cukupkah dengan beban menjadi peserta? Kenapa mahu mengambil tugas menyelia peserta-peserta yang lain pula?
Tetapi timbul sedikit rasa lega kerana dengan tugas sebagai penghulu, saya dapat bertindak mengawal perjalanan program, agar tidak berlaku apa-apa yang mencederakan Iman dan Islam saya.
“Kamu semua yang nak ke Jordan, Mesir dan Morocco, dengar sini”, kata salah seorang pegawai. Mukanya bengis, sekurang-kurangnya pada perasaan dirinya.
Kalau setakat imam-imam tu, kami letak bawah ini sahaja!
“Minggu lalu kami baru sahaja habis mengkursuskan Imam-imam. Kalau setakat imam-imam tu, kami letak bawah ini sahaja!”, katanya penuh angkuh sambil memegang tapak kasutnya.
Ia semacam suatu amaran kepada kami. Jangan cuba untuk tunjuk pandai atau mahu lebih-lebih.
Tetapi bahasa pegawai itu menambahkan kebencian saya kepada program ini. Kebencian yang bukan emosi. Tetapi kebencian kerana ia suatu penghinaan kepada agama saya, oleh orang saya sendiri. Marah saya bukan kerana saya anak muda.Tetapi kerana soal harga diri dan agama.
Perjalanan kursus berterusan seperti yang mereka rancang. Setiap peserta ditugaskan untuk menjaga amanah membawa sebiji telur ayam mentah. Telur ayam saya telah pecah apabila seorang pegawai sengaja merempuh saya ketika sedang lalu di koridor.
“Huh, kalau telur sebiji pun tak boleh nak jaga, macam mana nak jadi pemimpin negara!”, ulasnya sambil memberikan saya sebiji bata sebagai ganti kepada telur yang pecah itu.
Itulah harga sebuah kepimpinan negara kepada pegawai tersebut agaknya. Hanya seperti sebiji telur ayam.
Kemudian kami diarahkan untuk melukis bentuk geometri kesukaan kami secara spontan. Kebanyakan kami melukis bentuk bulat. Ia mudah, simbolik dan boleh ditafsirkan dengan pelbagai maksud yang positif.
Tetapi pegawai tersebut telah memberikan komen bahawa masyarakat yang suka bentuk bulat seperti bulan purnama ini lazimnya adalah masyarakat yang gilakan seks! Hanya sekadar mahu menyindir penyebaran pengaruh parti Islam pembangkang, beliau telah mencederakan pemikiran kami dengan idea-idea sampah seperti itu. Saya hanya mendiamkan diri.
Tiba-tiba lampu dewan ditutup…
“Yang tak berapa tinggi sila ke belakang dan yang tak berapa rendah sila ke depan. Pastikan yang tak berapa tinggi berada di depan kamu, manakala yang tak berapa rendah berada di belakang!”, jerit pegawai tersebut.
Maka riuh rendahlah di dalam gelap para pelajar cuba mencapai maksud arahan yang gelap seperti gelapnya dewan malam itu. Lelaki dan perempuan habis bertembung dan berlaga depan belakang.
Saya hampir hilang sabar. Di dalam gelap saya menjerit, “siapa sayang iman, sila ke tepi!”
Apabila lampu dipasang semula, kelihatan ramai dari kalangan batch saya yang berdiri di tepi dinding dewan. Hanya kumpulan yang akan ke UK dan USA sahaja yang berbaris di tengah-tengah dewan.
Muka pegawai itu merah padam. Marah benar dia kepada kami.
Masuk hari ketiga, sekumpulan pelajar perempuan telah datang kepada saya meminta bantuan. Mereka mohon dikecualikan daripada masuk ke dalam kolam kerana pakaian yang basah kuyup akan mendedahkan aurat. Tambahan pula, pelajar akan dimasukkan ke dalam kolam berselang seli antara lelaki dan perempuan.
Saya tahu ini bukan permintaan yang mudah. Namun sebagai penghulu, saya memberanikan diri.
Keesokan pagi, semasa solat Subuh, saya telah menjadi Imam. Surah al-Sajdah dibaca dengan penuh rasa syahdu. Bukan apa, tetapi terasa pagi ini bagai kemuncaknya. Ia adalah pagi terakhir kami di kem ini, dan kami akan melaksanakan kembara merentas desa selepas terbit matahari.
Saya membaca Qunut Nazilah agar Iman kami yang masih muda dan mentah ini tidak dicemar. Dan kepada Allah jua kembalinya segala hukuman kepada mereka yang melanggar batas agama. Semua jemaah mengaminkannya, termasuk pegawai-pegawai yang ada.
Ya Allah ya Tuhan kami, Engkaulah tempat kami mengadu. Peliharalah iman kami, hamba-hambaMu. Jauhkan kami dari musuh-musuhMu. Hindarkan kami dari kejahatan mereka dan kepada Engkaulah pulangnya segala ketentuan!
Selepas selesai solat dan tazkirah, saya bangun menuju kepada ketua pegawai yang bertugas. Beberapa orang sahabat datang mengelilingi kami berdua.
“Maafkan saya tuan. Sebagai penghulu, saya bertanggungjawab memastikan permintaan anak buah saya disampaikan. Pelajar perempuan mahu dikecualikan daripada masuk ke kolam. Atau sekurang-kurangnya mereka tidak dimasukkan berselang-seli dengan lelaki. Bukan mengada-ngada atau manja, tetapi untuk menjaga hukum agama!”, saya bersuara.
“Oh tak ada masalah. Kalau itu yang mereka mahukan”, kata pegawai tersebut.
Subhanallah terkejut saya dibuatnya. Tidak sangka semudah itu. Saya menjangkakan adanya pertengkaran dan saya telah pun bersedia.
Selepas sarapan pagi, kami semua berkumpul di padang. Selesai menyanyikan lagu Negaraku dan Wawasan 2020, undian diadakan. Ditakdirkan Allah, kumpulan saya mendapat giliran yang pertama untuk memulakan perjalanan.
“Tidak ada sesiapa pun dikecualikan daripada masuk ke kolam. Lelaki atau perempuan, semua kena masuk. Keputusan adalah muktamad!”, pegawai yang saya temui pagi tadi telah mengengkari janjinya.
Semua orang memandang ke kiri dan ke kanan.
Saya yang kemarahan gagal mengawal perasaan. Saya melangkah ke hadapan dan menegur pegawai tersebut.
“Masuk kolam saya tak kisah. Tapi kalau menipu dan mungkir janji, ini yang saya kisah!”, saya mengangkat suara sambil mencampakkan bata di tangan ke padang.
Pegawai tersebut sedikit terkejut. Saya dan kumpulan saya telah bergerak menuju ke kolam. Tali direntang di tengah-tengah kolam sepanjang kira-kira 30 meter. Air kolam pun agak dalam. Saya sendiri hampir-hampir tidak mencecah dasarnya.
“Macam mana ni Hasrizal? Kami nak masuk ke?”, tanya beberapa orang ahli kumpulan saya yang perempuan.
“Jangan masuk! Pergi jalan ikut tepi kolam”, saya bersuara keras.
Semua orang lain hanya memerhatikan kami. Pegawai itu juga menjeling tajam.
Perjalanan kami memang perit. Oleh kerana malam tadi hujan lebat, maka banyak pohon buluh yang rebah ke atas sungai. Oleh kerana tiada jalan lain, kami terpaksa merangkak di dalam sungai. Sesekali terteguk juga air.
Bahagian paling sukar adalah ketika mendaki bukit yang cerun. Tanah liat yang basah tambah menyulitkan keadaan. Saya memohon maaf kepada beberapa ‘ustazah’ kerana terpaksa menarik tangan mereka lantaran keadaan yang tidak memungkinkan mereka untuk memanjat tanpa bantuan.
Ditakdirkan Allah, kumpulan saya selaku kumpulan pertama telah terkeliru kerana tiada sebarang kesan perjalanan di hadapan. Semua lorong masih segar tidak terusik. Kami telah tersesat hingga termasuk ke kebun sayur orang asli.
Oleh kerana kami tersalah jalan, kami yang bergerak paling awal telah menjadi kumpulan kedua akhir sampai ke hujung perjalanan.
“Hah, padan muka. Inilah balasan Tuhan kepada kamu!”, herdik pegawai yang menanti kami.
Saya hanya mendiamkan diri kerana tiada faedahnya untuk saya berbalah. Tambahan pula hati yang teramat kecewa kerana terlepas solat Jumaat terakhir di Malaysia lantaran kembara itu…

2007 @ IIUM
Peristiwa ini telah lebih 15 tahun berlalu. Bayangkan kesannya kepada diri saya. Setiap butir peristiwa masih segar di ingatan. Not forgiven and not forgotten!
Saya terfikirkannya kembali apabila saya membaca perkembangan konsep La Patrie yang berkembang di era Napoleon Bonaparte di Perancis.
Patriotisme dan cintakan negara adalah sesuatu yang bersifat perasaan dan emosi. Ia adalah cinta. Dan cinta tidak boleh dipaksa. Saya tidak faham apakah falsafah yang dipakai untuk memaksa kami cinta dengan pendekatan sedemikian rupa. Aktiviti lasak memang kami gemari. Tetapi menghina pemikiran dan pendirian agama, itu suatu kedangkalan idea.
Pada saya, lebih kuat kita mendalami agama, lebih dalamlah rasa cinta kepada tanah air. Timbul dalam diri rasa mengambil berat terhadap setiap sesuatu yang berlaku kepada negara dan enggan menerima penentangan, sama ada oleh ancaman musuh, mahu pun oleh anai-anai korupsi nepotisma dan kronisma dalaman.
Patriotisme bukan lagu Negaraku. Patriotisme bukan Jalur Gemilang. Patriotisme adalah keprihatinan dan ketinggian perasaan seorang rakyat yang mahukan segala yang terbaik untuk negaranya.
Orang yang paling kuat beragama, itulah yang paling cintakan negara.
Mengapa diperbodohkan pemikiran pelajar agama, hanya kerana sentimen partisan yang sempit makna?

Mengarut3