gravatar

Patriotisme Itu Bukan Cinta Paksa

Bismillahirrahmaanirrahiim


memang niat saya nak copy paste sebijik2, sbg peringatan utk diri sendiri..
Wallahu a'alam

Patriotisme Itu Bukan Cinta Paksa

April 2nd, 2007 by Abu Saif 2:35 pm | 5,325 views | Print Print | Email Email |Leave a reply »
patriotisme.jpg
1935 Chinatown Kuala Terengganu, Silver Jubilee of King George V
1993
“Hah, padan muka. Inilah balasan Tuhan kepada kamu!”, herdik pegawai itu kepada kami yang masih basah kuyup selepas meranduk sungai di Janda Baik.
Telinga saya merah. Perasaan marah berubah menjadi semacam dendam.
Saya terkenang kembali kepada rentetan peristiwa beberapa hari yang lalu. Saya dan rakan-rakan dihantar ke kem ini untuk membina patriotisme sebelum dihantar pergi meninggalkan negara. Bimbang kalau-kalau hati berubah rasa, beralih cinta melupakan desa.
Saya dilantik sebagai penghulu, hasil undian majoriti. Alhamdulillah. Antara suka dan derita. Saya derita kerana tidak mahu dibebankan dengan hal-hal remeh yang menyulitkan saya. Tidak cukupkah dengan beban menjadi peserta? Kenapa mahu mengambil tugas menyelia peserta-peserta yang lain pula?
Tetapi timbul sedikit rasa lega kerana dengan tugas sebagai penghulu, saya dapat bertindak mengawal perjalanan program, agar tidak berlaku apa-apa yang mencederakan Iman dan Islam saya.
“Kamu semua yang nak ke Jordan, Mesir dan Morocco, dengar sini”, kata salah seorang pegawai. Mukanya bengis, sekurang-kurangnya pada perasaan dirinya.
Kalau setakat imam-imam tu, kami letak bawah ini sahaja!
“Minggu lalu kami baru sahaja habis mengkursuskan Imam-imam. Kalau setakat imam-imam tu, kami letak bawah ini sahaja!”, katanya penuh angkuh sambil memegang tapak kasutnya.
Ia semacam suatu amaran kepada kami. Jangan cuba untuk tunjuk pandai atau mahu lebih-lebih.
Tetapi bahasa pegawai itu menambahkan kebencian saya kepada program ini. Kebencian yang bukan emosi. Tetapi kebencian kerana ia suatu penghinaan kepada agama saya, oleh orang saya sendiri. Marah saya bukan kerana saya anak muda.Tetapi kerana soal harga diri dan agama.
Perjalanan kursus berterusan seperti yang mereka rancang. Setiap peserta ditugaskan untuk menjaga amanah membawa sebiji telur ayam mentah. Telur ayam saya telah pecah apabila seorang pegawai sengaja merempuh saya ketika sedang lalu di koridor.
“Huh, kalau telur sebiji pun tak boleh nak jaga, macam mana nak jadi pemimpin negara!”, ulasnya sambil memberikan saya sebiji bata sebagai ganti kepada telur yang pecah itu.
Itulah harga sebuah kepimpinan negara kepada pegawai tersebut agaknya. Hanya seperti sebiji telur ayam.
Kemudian kami diarahkan untuk melukis bentuk geometri kesukaan kami secara spontan. Kebanyakan kami melukis bentuk bulat. Ia mudah, simbolik dan boleh ditafsirkan dengan pelbagai maksud yang positif.
Tetapi pegawai tersebut telah memberikan komen bahawa masyarakat yang suka bentuk bulat seperti bulan purnama ini lazimnya adalah masyarakat yang gilakan seks! Hanya sekadar mahu menyindir penyebaran pengaruh parti Islam pembangkang, beliau telah mencederakan pemikiran kami dengan idea-idea sampah seperti itu. Saya hanya mendiamkan diri.
Tiba-tiba lampu dewan ditutup…
“Yang tak berapa tinggi sila ke belakang dan yang tak berapa rendah sila ke depan. Pastikan yang tak berapa tinggi berada di depan kamu, manakala yang tak berapa rendah berada di belakang!”, jerit pegawai tersebut.
Maka riuh rendahlah di dalam gelap para pelajar cuba mencapai maksud arahan yang gelap seperti gelapnya dewan malam itu. Lelaki dan perempuan habis bertembung dan berlaga depan belakang.
Saya hampir hilang sabar. Di dalam gelap saya menjerit, “siapa sayang iman, sila ke tepi!”
Apabila lampu dipasang semula, kelihatan ramai dari kalangan batch saya yang berdiri di tepi dinding dewan. Hanya kumpulan yang akan ke UK dan USA sahaja yang berbaris di tengah-tengah dewan.
Muka pegawai itu merah padam. Marah benar dia kepada kami.
Masuk hari ketiga, sekumpulan pelajar perempuan telah datang kepada saya meminta bantuan. Mereka mohon dikecualikan daripada masuk ke dalam kolam kerana pakaian yang basah kuyup akan mendedahkan aurat. Tambahan pula, pelajar akan dimasukkan ke dalam kolam berselang seli antara lelaki dan perempuan.
Saya tahu ini bukan permintaan yang mudah. Namun sebagai penghulu, saya memberanikan diri.
Keesokan pagi, semasa solat Subuh, saya telah menjadi Imam. Surah al-Sajdah dibaca dengan penuh rasa syahdu. Bukan apa, tetapi terasa pagi ini bagai kemuncaknya. Ia adalah pagi terakhir kami di kem ini, dan kami akan melaksanakan kembara merentas desa selepas terbit matahari.
Saya membaca Qunut Nazilah agar Iman kami yang masih muda dan mentah ini tidak dicemar. Dan kepada Allah jua kembalinya segala hukuman kepada mereka yang melanggar batas agama. Semua jemaah mengaminkannya, termasuk pegawai-pegawai yang ada.
Ya Allah ya Tuhan kami, Engkaulah tempat kami mengadu. Peliharalah iman kami, hamba-hambaMu. Jauhkan kami dari musuh-musuhMu. Hindarkan kami dari kejahatan mereka dan kepada Engkaulah pulangnya segala ketentuan!
Selepas selesai solat dan tazkirah, saya bangun menuju kepada ketua pegawai yang bertugas. Beberapa orang sahabat datang mengelilingi kami berdua.
“Maafkan saya tuan. Sebagai penghulu, saya bertanggungjawab memastikan permintaan anak buah saya disampaikan. Pelajar perempuan mahu dikecualikan daripada masuk ke kolam. Atau sekurang-kurangnya mereka tidak dimasukkan berselang-seli dengan lelaki. Bukan mengada-ngada atau manja, tetapi untuk menjaga hukum agama!”, saya bersuara.
“Oh tak ada masalah. Kalau itu yang mereka mahukan”, kata pegawai tersebut.
Subhanallah terkejut saya dibuatnya. Tidak sangka semudah itu. Saya menjangkakan adanya pertengkaran dan saya telah pun bersedia.
Selepas sarapan pagi, kami semua berkumpul di padang. Selesai menyanyikan lagu Negaraku dan Wawasan 2020, undian diadakan. Ditakdirkan Allah, kumpulan saya mendapat giliran yang pertama untuk memulakan perjalanan.
“Tidak ada sesiapa pun dikecualikan daripada masuk ke kolam. Lelaki atau perempuan, semua kena masuk. Keputusan adalah muktamad!”, pegawai yang saya temui pagi tadi telah mengengkari janjinya.
Semua orang memandang ke kiri dan ke kanan.
Saya yang kemarahan gagal mengawal perasaan. Saya melangkah ke hadapan dan menegur pegawai tersebut.
“Masuk kolam saya tak kisah. Tapi kalau menipu dan mungkir janji, ini yang saya kisah!”, saya mengangkat suara sambil mencampakkan bata di tangan ke padang.
Pegawai tersebut sedikit terkejut. Saya dan kumpulan saya telah bergerak menuju ke kolam. Tali direntang di tengah-tengah kolam sepanjang kira-kira 30 meter. Air kolam pun agak dalam. Saya sendiri hampir-hampir tidak mencecah dasarnya.
“Macam mana ni Hasrizal? Kami nak masuk ke?”, tanya beberapa orang ahli kumpulan saya yang perempuan.
“Jangan masuk! Pergi jalan ikut tepi kolam”, saya bersuara keras.
Semua orang lain hanya memerhatikan kami. Pegawai itu juga menjeling tajam.
Perjalanan kami memang perit. Oleh kerana malam tadi hujan lebat, maka banyak pohon buluh yang rebah ke atas sungai. Oleh kerana tiada jalan lain, kami terpaksa merangkak di dalam sungai. Sesekali terteguk juga air.
Bahagian paling sukar adalah ketika mendaki bukit yang cerun. Tanah liat yang basah tambah menyulitkan keadaan. Saya memohon maaf kepada beberapa ‘ustazah’ kerana terpaksa menarik tangan mereka lantaran keadaan yang tidak memungkinkan mereka untuk memanjat tanpa bantuan.
Ditakdirkan Allah, kumpulan saya selaku kumpulan pertama telah terkeliru kerana tiada sebarang kesan perjalanan di hadapan. Semua lorong masih segar tidak terusik. Kami telah tersesat hingga termasuk ke kebun sayur orang asli.
Oleh kerana kami tersalah jalan, kami yang bergerak paling awal telah menjadi kumpulan kedua akhir sampai ke hujung perjalanan.
“Hah, padan muka. Inilah balasan Tuhan kepada kamu!”, herdik pegawai yang menanti kami.
Saya hanya mendiamkan diri kerana tiada faedahnya untuk saya berbalah. Tambahan pula hati yang teramat kecewa kerana terlepas solat Jumaat terakhir di Malaysia lantaran kembara itu…

2007 @ IIUM
Peristiwa ini telah lebih 15 tahun berlalu. Bayangkan kesannya kepada diri saya. Setiap butir peristiwa masih segar di ingatan. Not forgiven and not forgotten!
Saya terfikirkannya kembali apabila saya membaca perkembangan konsep La Patrie yang berkembang di era Napoleon Bonaparte di Perancis.
Patriotisme dan cintakan negara adalah sesuatu yang bersifat perasaan dan emosi. Ia adalah cinta. Dan cinta tidak boleh dipaksa. Saya tidak faham apakah falsafah yang dipakai untuk memaksa kami cinta dengan pendekatan sedemikian rupa. Aktiviti lasak memang kami gemari. Tetapi menghina pemikiran dan pendirian agama, itu suatu kedangkalan idea.
Pada saya, lebih kuat kita mendalami agama, lebih dalamlah rasa cinta kepada tanah air. Timbul dalam diri rasa mengambil berat terhadap setiap sesuatu yang berlaku kepada negara dan enggan menerima penentangan, sama ada oleh ancaman musuh, mahu pun oleh anai-anai korupsi nepotisma dan kronisma dalaman.
Patriotisme bukan lagu Negaraku. Patriotisme bukan Jalur Gemilang. Patriotisme adalah keprihatinan dan ketinggian perasaan seorang rakyat yang mahukan segala yang terbaik untuk negaranya.
Orang yang paling kuat beragama, itulah yang paling cintakan negara.
Mengapa diperbodohkan pemikiran pelajar agama, hanya kerana sentimen partisan yang sempit makna?

gravatar

Tak Mahu Hipokrit, Akhirnya Bertambah Dosa

Tak Mahu Hipokrit, Akhirnya Bertambah Dosa
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
ana_muslim.jpg

SOALAN
Untuk pengetahuan ustaz,ibu saya telah menyuruh saya memakai tudung ketika saya berumur 13 tahun lagi. Saya hanya menurut katanya kerana bimbang dimarahi. Walaupun begitu, sekarang saya tidak lekat memakai tudung. Ini diketahui oleh ibu saya, dia hanya mampu membebel dan berkata, adik nak buat dosa, adik tanggung la sendiri, ibu dah buat apa yang patut.
Sekarang saya sudah bekerja dan hanya memakai tudung di tempat kerja sahaja kerana di tempat saya, tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya pekerja tidak memakai tudung. Saya tahu hukum tidak menutup aurat, tetapi buat waktu sekarang, hati saya tidak terbuka lagi untuk terus menutup aurat (rambut dan leher).
Cara pemakaian saya tidak seperti rakan-rakan saya yang menutup aurat. Mereka bertudung tetapi pemakaian mereka tidak melambangkan imej mereka. Baju, seluar ketat yang menampakkan susuk tubuh.
Bagi yang memakai baju kurung, ada yang dari kain yang nipis dan jarang. Bagi yang berbaju kebaya, ianya terlalu ketat, berkain belah sehingga menampakkan betis dan jarang. Ada yang tidak memakai seluar tetapi memakai skirt panjang. Walaupun begitu, ianya ketat dan menampakkan garis pakaian dalam yang dipakainya.
Tudung yang dipakai pula tidak menutupi dada. Lelaki-lelaki yang memandang tidak berkelip melihat mereka. Ada juga rakan saya yang betul-betul menutup aurat tetapi perangai dan kelakuan mereka lebih teruk dari perempuan yang tidak memakai tudung. Tidak menunaikan solat, panjang tangan, mengumpat, melayan lelaki yang bukan muhrim, pengotor dan pelbagai karenah lagi. Walaupun saya tidak memakai tudung, saya menjaga solat, pemakaian dan tingkah laku saya.
Kawan-kawan saya ini ada menyuruh saya supaya terus memakai tudung tetapi saya tidak mahu menjadi hipokrit. Saya mahu berubah kerana saya sendiri yang ingin berubah. Saya mahu melakukannya dengan ikhlas, bukan kerana disuruh. Saya tahu hari itu akan tiba tetapi bukan sekarang.
Semoga ALLAH membuka hati saya untuk terus memakai tudung. Amiin...
- Diera -

JAWAPAN
Ada beberapa perkara yang saudari utarakan dalam soalan dan ingin saya berikan respon ringkas. Iaitu :-
1)     Isu tidak mahu bertudung ( menutup aurat) tanpa ikhlas kerana tidak mahu hipokrit  serta tidak mahu berubah kerana disuruh.
Sebenarnya isu ini telah agak banyak saya sentuh di dalam artikel-artikel yang lalu seperti berikut :-

Namun demikian, disebabkan soalan ini ada menyentuh beberapa isu yang agak semasa dan kerap, saya berasa perlu untuk memberikan ulasan tambahan.
Begini ulasannya, Allah swt dan RasulNya telah mengarahkan seluruh wanita muslimah untuk menutup aurat dan bukan hanya bertudung.
Justeru, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh orang lain atau terbit dari hatinya sendiri, dia tetap WAJIB di sisi Allah untuk melaksanakan kewajiban itu.
Sebagaimana seorang pemandu tidak berhemah warganegara Malaysia yang menetap di United Kingdom (UK), dia akan terpaksa mengubah cara pemanduannya kerana hemah pemandu di UK amat tinggi, sesiapa sahaja yang kurang berhemah akan segera mendapat teguran pemandu lain, malah adakalanya pemandu lain akan segera menelefon polis atau mencatat nombor plat kereta untuk diadukan kepada polis.
Atas sebab itu, pemandu yang asalnya ‘brutal' di Malaysia, TERPAKSA berubah di UK.  Tidak kiralah sama ada dia berubah kerana hipokrit, terpaksa, tidak ikhlas atau apa jua sebab lauaran. Hakikatnya, dia MESTI berubah, kerana itu adalah system dan regulasinya. Mengabaikannya akan membawa mudarat kepada diri sendiri dan pemandu orang lain.
Sama seperti menutup aurat dan bertudung, itu adalah regulasi oleh agama Islam, mengabaikannya akan membawa mudarat spiritual kepada diri sendiri dan juga orang lain (kerana setiap lelaki yang melihat aurat wanita bukan mahram, akan berdosa dan dosanya dikongsi bersama oleh wanita tersebut).!
Justeru itu, hipokrit tidak boleh sama sekali menjadi PENGHALANG untuk mengerjakan semua KEWAJIBAN agama, termasuk menutup aurat. Ia adalah arahan Allah dan hak Allah untuk menguji hambanya.
Sama seperti mendirikan solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan semua arahan serta larangan Islam yang lain, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, terpaksa atau tidak. Kewajiban untuk melakukan semua arahan wajib dan menjauhi larangan  yang diharam tetap tertanggung di atas bahunya, walaupun dia tidak ikhlas atau masih gagal mencapai tahap Ikhlas.  
Apa yang perlu diusahakan adalah terus menerus berusaha memperoleh ikhlas semasa melaksanakan perintah dan menjauhi larangan itu. Itu boleh dianggap sebagai adalah level kedua kesempurnaan ibadah. Level pertama adalah mesti melaksanakan tuntutan Islam.
Perlu diingat, jika seseorang menutup aurat dan menunaikan solat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya. ATAU kata lainnya, tatkala itu dia hanya BERDOSA SEKALI iaitu kerana tidak melaksanakannya secara ikhlas, tetapi dia terhindar dari dosa tidak mengerjakan yang wajib ke atasnya secara zahir.
Namun jika dia degil dan tidak menutup aurat, tidak juga solat atas alasan TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU HIPOKRIT dan sebagainya. Tindakannya itu menjadikannya BERDOSA di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa DUA KALI. Dosa di level pertama dan kedua sekaligus, malah lebih musnah apabila dosa level pertama itu sangat mudah bercambah apabila ia berjangkit kepada orang lain, seperti apabila sahaja ada mata lelaki bukan mahram yang melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak mata lelaki yang melihat.
Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas tadi, at least dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata lelaki.
Kesimpulannya, ‘ingin berubah hasil hati sendiri', ‘tidak ikhlas' dan ‘tidak mahu hipokrit' itu semuanya hanya bisikan syaitan yang ingin menyesatkan hamba Allah agar terus menerus menjauhi kewajibannya. Sedarlah agar jangan lagi terpedaya, ingatlah berterusan dalam dosa sedang mengetahui hukumnya akan terus menerus menambah besar kemurkaan Allah swt dan akan menjadikan diri sama sekali TIDAK MAMPU berubah di satu hari nanti yang diharapkan.

2)            MEREKA YANG BERTUDUNG TAPI TIDAK SEMPURNA DAN BERAKHLAK BURUK.
Sebelum mengulas, isu sebegini telah pernah saya ulas sbeelum ini di artikel : Bertudung Sambil Hina Hukum
Kembali kepada persoalan saudari, dari bait-bait ayat saudari, kelihatan saudari begitu benci dan terganggu serta terkesan dengan keburukan akhlak dan cara tutupan aurat rakan sekerja yang lain yang dikatakan memakai tudung tetapi ketat dan sebagainya. Sehingga saudari merasa mereka semua hipokrit, buruk perangai, pengotor dan sebagainya, walau bertudung.
Sebelum itu, saya perlu ingatkan saudari dikira bertuah kerana mendapat kerja di sebuah syarikat yang begitu perihatin dalam masalah agama sehingga mewajibkan kakitangan mereka untuk menutup aurat.
Satu perkara mesti jelas juga, semua wanita yang bertudung tetapi berbaju ketat, skirt panjang terbelah, berbaju kebaya sempit dan sebagainya, semua mereka berada di satu level pada pandangan Islam. Iaitu SEMUA SEDANG MELAKUKAN DOSA DAN SEMUA TIDAK MENUTUP AURAT.
Justeru, adalah SALAH bagi saudari menganggap ‘rakan sekerja itu' SEBAGAI MENUTUP AURAT TETAPI BURUK AKHLAK DAN BEROSA. Sebabnya, mereka juga TIDAK MENUTUP AURAT.
Malah jika mereka benar-benar menutup aurat sekalipun, adalah SALAH untuk merujuk kepada mereka dalam menetap pendirian sama ada saudari perlu sudah sampai masa untuk menutup aurat atau tidak.
Ingatlah bahawa yang diwajibkan oleh Allah bukanlah hanya bertudung kepala dan menutup leher, tetapi menutup seluruh bahagian aurat tubuh sebagaimana yang telah saya terangkan di dalam artikel ‘Aurat Wanita Apa Sudah Jadi'
Selain itu, adalah salah sama sekali dalam hal ehwal agama, untuk kita membandingkan diri kita dengan mereka yang lebih buruk agama dan akhlak. Ia adalah teknik Syaitan uuntuk menghentikan seseorang dari melakukan usaha pemulihan diri kepada yang lebih baik.
Jelas dari hadis Nabi s.a.w, dalam hal agama dan kepatuhannya, kita mesti sentiasa melihat mereka yang lebih dari kita, agar kita terus berusaha
Manakala dalam hal keduniaan, barulah kita disuruh oleh Islam untuk melihat mereka yang kurang berbanding kita, agar kita lebih tahu untuk bersyukur dan tidak dijangkiti penyakit tamak.
Sabda Nabi :-
خَصْلَتَانِ من كَانَتَا فيه كَتَبَهُ الله شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ لم تَكُونَا فيه لم يَكْتُبْهُ الله شَاكِرًا ولا صَابِرًا من نَظَرَ في دِينِهِ إلى من هو فَوْقَهُ فَاقْتَدَى بِهِ ونظر في دُنْيَاهُ إلى من هو دُونَهُ فَحَمِدَ اللَّهَ على ما فَضَّلَهُ بِهِ عليه ..
Ertinya : Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya  kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya .. ( Riwayat At-Tirmidzi, 4/665 ; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)

3)     WALAUPUN TIDAK MEMAKAI TUDUNG (MENUTUP AURAT) TETAPI MASIH JAGA SOLAT DAN MAMPU MENJAGA TINGKAH LAKU.
Tahniah atas kemampuan saudari untuk terus menjaga solat dan menjaga tingkah laku, namun solat yang hakiki dan ikhlas akan menghasilkan seorang yang gerun melakukan dosa, serta akan mendorong sesoerang untuk tanpa lengah menunaikan tanggungjawab yang diarahkan Allah.
Namun apabila saudari terus redha dalam pembukaan aurat sedangkan saudari menunaikan solat, ia bermakna solat saudari juga bermasalah. Tapi jangan pula mengatakan, "kalau begitu saya tak mahu solat kerana tak mahu hipokrit", ia telah kita bincang di atas tadi.
Juga, buktikan kepada diri bahawa jagaan solat saudari adalah benar-benar sebuah ketaatan dan bukan hanya kosong tanpa isi. Tanda awal ia adalah benar-benar sebuah solat adalah saudari akan terbuka hati dengan cepat untuk menutup aurat tanpa terkesan dek buruk perangai orang sekitar yang kononnya menutup aurat tetapi buruk.
Justeru, saya menasihatkan saudari agar segera keluar dari jenis individu yang saudari sendiri benci (bertudung atau tutup aurat tapi tak solat, mengumpat dsbgnya). Saudari membenci perangai mereka tetapi dari sudut pandangan agama,  saudari sebenanrya adalah sebahagian dari mereka kerana :
Mereka yang menutup aurat dan buruk perangai adalah sama darjatnya dengan mereka yang solat tapi tidak menutup aurat.
Kedua-duanya tidak bertanggungjawab terhadap Allah dan sedang melakukan dosa.
Malah saudari juga patut bersyukur mendapat ibu yang prihatin soal kewajiban agama, terlalu ramai ibu di zaman ini yang hanyut dan lebih suka anak perempuan mereka mengikuti gaya yang disukai  syaitan iaitu seksi.
Lalu apabila ibu menyuruh, Allah juga mengarahkan, maka saudari bukan sahaja berdosa kerana aurat saudari yang terbuka, malah juga berdosa kerana tidak mematuhi suruhan dan harapan ibu, selain berdosa melanggar arahan Allah.
Bukankah mentaati ibu dalam hal yang tidak membawa dosa adalah WAJIB?. Dan jatuh derhaka bagi seorang anak yang mengguris perasaan ibu, khususnya dalam hal nasihat ibu untuk kita mentaati arahan Allah swt.

4)            BUKAN SEKARANG MASA UNTUK BERUBAH.?
Jika bukan sekarang, maka adakah apabila sudah terlantar di rumah mayat baru ingin beurbah. Sedarilah wahai diri, bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba dan tiada sebarang jaminan umur masih panjang beberapa minggu lagi.
Kebaikan dan pelaksanaan tanggungjawab jangan sesekali ditangguhkan, kelak tidak kempunan di hadapan Allah.
Moga Allah membantu saudari untuk segera berubah dan terbuka untuk menerima jawapan ini.
Saya juga doakan saudari untuk segera berHIJRAH KE ARAH kebaikan, dan teruslah kita semua berusaha untuk ikhlas dalam semua amalan kita.
Selamat BEPRUASA SUNAT HARI TASYU'A DAN ASYURA.! (9 dan 10 Muharram iaitu pada 26 dan 27 Disember 2009 )
Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
9 Muharram 1431
26 Disember 2009

gravatar

Orang-orang Yang Didoakan Oleh Malaikat

Orang-orang Yang Didoakan Oleh Malaikat
www.iluvislam.com
dihantar oleh: Cahaya Pertunjuk
editor: deynarashid


Inilah orang–orang yang didoakan oleh para malaikat:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.

Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa ‘Ya Allah, ampunilah hambamu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci”.
(Imam Ibnu Hibban meriwayatkan dari Abdullah bin Umar ra., hadits ini dishahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih At Targhib wat Tarhib I/37)


2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.

Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah salah seorang diantara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali para malaikat akan mendoakannya ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia’” 
(Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., Shahih Muslim no. 469)


3. Orang–orang yang berada di saf barisan depan di dalam solat berjamaah.

Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada (orang–orang) yang berada pada saf-saf terdepan” 
(Imam Abu Dawud (dan Ibnu Khuzaimah) dari Barra’ bin ‘Azib ra., hadits ini dishahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih Sunan Abi Dawud I/130)


4. Orang–orang yang menyambung saf pada solat berjamaah (tidak membiarkan sebuah kekosongan di dalam saf).

Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah dan para malaikat selalu berselawat kepada orang-orang yang menyambung saf–saf” 
(Para Imam yaitu Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al Hakim meriwayatkan dari Aisyah ra., hadits ini dishahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih At Targhib wat Tarhib I/272)


5. Para malaikat mengucapkan ‘Amin’ ketika seorang Imam selesai membaca Al Fatihah. 

Rasulullah SAW bersabda, “Jika seorang Imam membaca ‘ghairil maghdhuubi ‘alaihim waladh dhaalinn’, maka ucapkanlah oleh kalian ‘aamiin’, kerana barangsiapa ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, maka ia akan diampuni dosanya yang masa lalu”.
(Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., Shahih Bukhari no. 782)


6. Orang yang duduk di tempat solatnya setelah melakukan solat.

Rasulullah SAW bersabda, “Para malaikat akan selalu berselawat kepada salah satu diantara kalian selama ia ada di dalam tempat solat dimana ia melakukan solat, selama ia belum batal wudhunya, (para malaikat) berkata, ‘Ya Allah ampunilah dan sayangilah ia” 
(Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah, Al Musnad no. 8106, Syaikh Ahmad Syakir menshahihkan hadits ini)


7. Orang–orang yang melakukan solat subuh dan asar secara berjamaah.

Rasulullah SAW bersabda, “Para malaikat berkumpul pada saat solat subuh lalu para malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga subuh) naik (ke langit), dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal, lalu Allah bertanya kepada mereka, ‘Bagaimana kalian meninggalkan hambaku?’, mereka menjawab, ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, maka ampunilah mereka pada hari kiamat’” 
(Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., Al Musnad no. 9140, hadits ini dishahihkan oleh Syaikh Ahmad Syakir)


8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

Rasulullah SAW bersabda, “Doa seorang muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, maka malaikat tersebut berkata ‘aamiin dan engkaupun mendapatkan apa yang ia dapatkan’” 
(Diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Ummud Darda’ ra., Shahih Muslim no. 2733)


9. Orang–orang yang berinfak.

Rasulullah SAW bersabda, “Tidak satu hari pun dimana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali 2 malaikat turun kepadanya, salah satu diantara keduanya berkata, ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak’. Dan lainnya berkata, ‘Ya Allah, hancurkanlah harta orang yang bakhil’” 
(Imam Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., Shahih Bukhari no. 1442 dan Shahih Muslim no. 1010)


10. Orang yang sedang makan sahur. 

Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang – orang yang sedang makan sahur” 
(Imam Ibnu Hibban dan Imam Ath Thabrani, meriwayaatkan dari Abdullah bin Umar ra., hadits ini dishahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih At Targhiib wat Tarhiib I/519)


11. Orang yang sedang menjenguk orang sakit.

Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70.000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang sehingga petang dan di waktu malam sehingga subuh”
(Imam Ahmad meriwayatkan dari ‘Ali bin Abi Thalib ra., Al Musnad no. 754, Syaikh Ahmad Syakir berkomentar, “Sanadnya shahih”)

12. Seseorang yang sedang mengajarkan kebaikan kepada orang lain.

Rasulullah SAW bersabda, “Keutamaan seorang alim atas seorang ahli ibadah bagaikan keutamaanku atas seorang yang paling rendah diantara kalian. Sesungguhnya penghuni langit dan bumi, bahkan semut yang di dalam lubangnya dan bahkan ikan, semuanya berselawat kepada orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain”
(Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dari Abu Umamah Al Bahily ra., dishahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Kitab Shahih At Tirmidzi II/343)


*Sumber Tulisan Oleh : Syaikh Dr. Fadhl Ilahi (Orang – orang yang Didoakan Malaikat, Pustaka Ibnu Katsir, Bogor, Cetakan Pertama, Februari 2005 

gravatar

~~** Lo0k!!..Ice Town**~~













Mengarut3